Diukir oleh: Batu Jalanan
Aku berjalan sambil mengheret kaki kiriku yang cedera. Darah
masih mengalir deras hasil dari tembakan ketika aku cuba melarikan diri tadi.
Perutku yang masih berbisa disebabkan sepak terajang mereka ku peluk dengan
erat.
Aku cuba menyandarkan tanganku dirimbunan kotak-kotak
kosong, namun kotak-kotak tersebut jatuh lalu menimpa ke arahku. Aku terbaring
lelah. Mataku mula berpinar-pinar sebelum aku mula tidak sedarkan diri.
***
Bunyi bising dari dapur mula membangunkan aku dari tidur
yang lena. Telah lama aku tidak tidur selena ini. Aku meraba-raba tempat tidur
ku sebelum mataku terbuka luas.
“Eh, sejak bila aku ada rumah?” ngomelku.
Aku bingkas bangun dari tidur. Memandang sekeliling sebelum
melangkah kaki ke dapur. Seorang wanita sedang asyik menyiang ikan langsung
tidak sedar akan kehadiranku di belakangnya.
“Eh, sejak bila aku kahwin?” ngomelku lagi.
Aku memeluknya dari belakang, menyangka bahawa aku
benar-benar punyai seorang isteri. Dia yang terkejut dengan tindakanku, hampir
sahaja menghunuskan pisau yang dipegangnya ke arah perutku.
Dia tidak menjerit tapi wajahnya menunjukkan kemarahan.
“Awak dah kenapa?” soalnya marah.
Aku keliru. Siapa dia? Apa aku buat di sini? Dan kenapa aku
boleh sangkakan dia isteri aku?
Ok, yang itu pelik.
“Macam mana aku boleh kat sini?” soalku sambil mencubit
telur dadar yang telah siap digoreng.
Dia, ku lihat menggelengkan kepalanya. Mungkin pertama kali
melihat orang asing yang tak pandai berpura-pura asing di rumah yang sepatutnya
asing bagi orang asing.
Ya, aku rasa itu yang dia fikirkan kerana selepas itu pantas
sahaja dia mengambil pinggan yang mempunyai telur dadar di atasnya jauh dari
aku.
“Basuh tangan dulu” marahnya.
Aku keliru sambil melihat tapak tanganku. Benar. Tanganku
penuh dengan kesan darah kering. Baju dan seluarku juga begitu.
Dia kemudiannya masuk ke sebuah bilik dan keluar dengan
sehelai tuala dan sepasang baju persalinan lalu diberi kepadaku.
“Ambil ni dan pergi mandi. Berus gigi yang belum buka ada di
dalam rak almari tu” bicaranya sambil menunding jari ke arah salah sebuah rak
yang terdapat di situ.
Dia kemudiannya menyambung siang ikan.
Aku yang menjumpai berus gigi tersebut terus mencapainya dan
pantas masuk ke bilik air.
Ku lihat badanku penuh dengan lebam-lebam dan kesan darah.
Kakiku ku lihat berbalut dengan kain kapas seolah-olah baru sahaja dirawat
disebabkan sesuatu kecederaan. Otakku tiba-tiba mengaktifkan neuron lalu
berhubung dengan cell-cell yang mati. Aku teringat.
Semalam aku cuba melarikan diri dari tempat yang bagiku
merupakan neraka dunia. Bukan sekali dua tapi berkali-kali dan entah kenapa
pelarianku kali ini membuahkan hasil. Aku berjaya keluar dari sana walaupun
ianya mengorbankan kaki kiriku buat sementara waktu.
Setelah selesai mandi, aku terus duduk bersila di depan
makanan yang telah dihidangkan. Telur dadar dengan ikan goreng masak kicap
sudah cukup menaikkan seleraku. Seseorang keluar dari bilik dan terus duduk
dihadapanku. Wajahnya langsung tidak memandang ke arahku. Dia terlalu asyik
dengan gajet telefonnya.
Aku pula terus-terusan memerhatikan makanan dihadapanku.
Menanti-nanti makanan yang sepatutnya dihidangkan bersama lauk tersebut.
Tidak lama kemudian, perempuan yang ku sangkakan isteriku tadi
keluar sambil membawa periuk nasi yang masih panas. Dia meletakkan nasi
tersebut di sisinya sambil dialas kain. Nasi tersebut dicedok dan
diagih-agihkan antara kami.
Setelah masing-masing mendapat bahagian nasi masing-masing,
perempuan yang asyik dengan gajetnya meletakkan telefonnya ditepi lalu menadah
tangan. Aku yang turut melakukan perkara sama terdiam apabila semua mata
memandang ke arahku. Aku keliru.
Dia berdehem sebelum berkata, “cepatlah baca doa”.
Aku menelan air liurku sebelum membaca doa masuk tandas.
Sekali lagi semua mata memandang ke arahku.
“kenapa?” soalku marah.
Sengaja aku memilih untuk berpura-pura tidak tahu walhal aku
sebenarnya memang tidak tahu doa apa yang aku baca sehinggalah perempuan yang
ku sangkakan isteriku mengambil alih membaca doa makan bagi pihakku.
Aku menarik nafas dalam sebelum mengambil ikan goreng kicap
yang telah aku “cop” terlebih dahulu sedari tadi.
Terlupa sekejap aku pada keterasingan aku di rumah ini dan
mereka-mereka yang berada disekeliling aku ini.
Setelah selesai makan, aku mengekori dia yang ke dapur untuk
membasuh pinggan-pinggan yang kotor. Ku lihat budak perempuan yang asyik dengan
gajetnya tadi telahpun masuk ke biliknya semula.
Aku berdiri di sebelahnya sambil melihat dia membasuh
pinggan.
“Siapa kau?” soal aku.
“Aku orang biasa yang menjumpai kau terbaring dibawah
timbunan kotak-kotak yang belum sempat aku nak ambik kotak tu kau dah
jatuhkan.” Bicara dia sambil meneruskan sesi membasuh pinggan.
“kenapa kau selamatkan aku?” soalku lagi.
“sebab kau pengsan depan aku sambil berlumuran
darah”jawapnya ringkas.
“Jadi kau tak takut kalau-kalau aku orang jahat atau
gengster?” soalku sengaja mahu menakut-nakutkan dia.
“takut memang takut tapi aku lagi takut bila kau langsung
tak nak lepaskan tangan aku ketika itu walaupun dalam keadaan kau pengsan”
bicaranya sambil menghembus nafas berat.
“well, pada mulanya aku memang nak tinggalkan kau je kat
situ tapi memandangkan aku terlalu takut bila kau tiba-tiba sahaja pegang
tangan aku erat seolah-olah kau langsung tak nak lepaskan, aku terpaksa bawa
kau ke klinik 1 Malaysia supaya jururawat kat situ boleh regangkan jari-jari
kau dan aku boleh bebas tapi malangnya…” bicaranya terhenti.
“kau… apa yang berlaku kat kau sebenarnya sampaikan
jururawat tu terpaksa memaksa aku membawa kau pulang bersama aku disebabkan kau
meracau-racau di dalam klinik.” Soalnya marah sambil menunding senduk yang
sedang dibasuh ke arahku.
“aku…”bicaraku terputus.
Sukar untuk aku ceritakan hal yang sebenar. Dia menarik
nafas berat sekali lagi.
“kalau kau keberatan nak cerita, tak perlu cerita. Aku pun
bukan pendengar setia, lagipun sekejap lagi cerita naruto dah nak mula. Aku ni
malas nak tengok online, buat habis kuota je” bicara dia sambil tergesa-gesa
menghabiskan basuhan cawan yang terakhir.
“kau boleh sembunyi disini selama mana yang kau mahu sebab
adik aku pun ada tinggal sekali dirumah ni tapi… once, ada orang yang datang
cari or jemput kau, kau mesti pergi dari sini. Aku tak suka kecoh-kecoh kat
rumah aku.” Bicara dia dan kemudian berlalu ke ruang tamu sambil membuka siaran
cerita naruto.
Lagu pembukaan cerita naruto mula kedengaran di ruang tamu.
Aku berjalan mengambil segelas air lalu meminumnya. Tawaran dia menarik
minatku. Aku yakin yang dia tahu bahawa menyimpan aku dirumahnya akan
membahayakan nyawanya dan adiknya sendiri. Tapi untuk aku yang baru sahaja
berjaya keluar dari neraka dunia itu, tawaran seperti ini tak dapat aku tolak.
Aku kemudiannya turut serta dengannya melihat cerita naruto
sehingga habis episode tersebut.
***
Pada esoknya, aku bangun awal pagi dan terus ke kedai
gunting rambut. Rambutku ku potong pendek dan menginaikannya hitam semula.
Warna asal rambutku. Aku kemudiannya ke kedai 2 ringgit bagi membeli topi
dengan harapan mereka-mereka yang mengenaliku sukar untuk mengecamku.
Al-kisah aku memiliki duit untuk memotong rambut dan membeli
topi sangat tragis. Mati-matian aku meminta duit dari dia untuk memotong rambut
tapi dia langsung tak nak beri.
Katanya, “nanti kau rasa terhutang budi dengan aku, susah”.
“lol. Dah kau ni kenapa, perempuan?” bicaraku hanya di dalam
hati.
Akhirnya setelah penat merayu, aku terpaksa memiliki duit
dengan cara meminjam darinya. Ya, meminjam darinya. Ini bermakna aku harus
memulangkan semula rm20 kepadanya semula.
Setelah selesai membeli topi yang aku berkenan, aku terus
kembali ke rumahnya. Sejak hari itu, aku langsung tidak keluar dari rumah
tersebut. Takut-takut kalau mereka-mereka yang mengenaliku menjumpaiku.
Walaupun aku agak tak tahu malu tapi aku malu juga bila
duduk di rumahnya tanpa perlu bayar apa-apa untuk semua kemudahan yang aku guna
termasuk air, elektrik dan makanan yang bukan sahaja percuma malah dimasak
olehnya tanpa aku membantu sedikitpun.
Aku pernah ingin membantunya masak, namun nasi tersebut
menjadi bubur. Begitu juga dengan kejadian basuh baju. Sengaja aku ingin
membantu membasuh baju, namun entah kenapa buih-buih sabun keluar dengan
rakusnya dari mesin basuh lalu membanjiri seluruh ruang dapur.
Pada hujung minggu pula, aku cuba membantunya dengan
menyampu dan mengemop lantai. namun, entah kenapa semakin ku mop semakin kotor
lantai tersebut dengan tapak kaki aku. Akhirnya ruang tamu tersebut basah
dengan air pencuci lantai.
Dia yang pada mulanya tak terlalu penat menjadi semakin
penat melihat kesan hasil dari cubaan aku untuk membantunya daripada penat.
Oleh itu, untuk beberapa minggu aku dikuantirin daripada menyentuh mop dan
mesin basuh. Aku juga dihalau dari dapur setiap kali dia hendak masak.
Akhirnya, aku kembali ke asal iaitu tidak membuat apa-apa.
***
Beberapa minggu tinggal dengannya membuatkan aku dah
terbiasa membaca sikapnya. Dia yang setiap hari balik dari kerja akan terus
masuk ke biliknya. Dia juga tidak pernah ketinggalan untuk menonton cerita
naruto pada setiap hari jumaat. Hari-hari minggunya sering dihabiskan di dalam
bilik dan hanya keluar untuk ke tandas atau memasak dan kemudian dia akan
kembali ke biliknya semula.
Kami jarang berbual atau lebih tepat lagi memang tak
berbual. Aku ingin mengenali dia, seseorang yang tak pernah menunjukkan muka
menyampah menyimpan aku di rumahnya tapi waktu aku berjumpa dengannya hanyalah
ketika dia balik kerja, waktu makan dan masa menontot cerita naruto. Selain
itu, dia hanya duduk di dalam bilik.
Hal ini berlarutan untuk beberapa bulan seterusnya, aku mula
berasa senang di sini. Seolah-olah aku lupa dunia aku yang sebenar. Hinggalah tuhan
kembalikan aku ke alam realiti semula.
Aku yang ketika itu sedang mengasingkan baju-baju yang
hendak dibasuh ternampak tudung bawal hitam kegemaran dia, agakku kerana aku
pernah dimarahinya kerana tersandar pada tudungnya yang aku tak perasan berada
di sofa tempat aku duduk.
Tudung bawal hitamnya kelihatan koyak di hadapan seolah-olah
tersakut pada bucu tajam. Terdetik dalam hatiku untuk membeli tudung bawal
hitam baru untuknya, namun untuk meminjam duit darinya sekali lagi membuat aku
agak ragu-ragu.
Lalu aku memilih untuk menggunakan kad atm ku bagi
mengeluarkan sedikit duit. Walaupun, aku tahu mereka dapat menjejaki aku
sekiranya aku menggunakan kad atm tersebut namun aku rasa aku tidak banyak
pilihan. Setidak-tidaknya sekiranya nanti-nanti aku dijumpai mereka, ada
sesuatu yang aku boleh berikan pada dia sebagai tanda terima kasih kerana
menyimpan ku walaupun dia tahu risiko bagi dirinya dan adiknya.
Aku keluar pada awal pagi dan menuju ke atm yang agak jauh
dari rumahnya dengan harapan mereka-mereka yang mengenaliku tidak dapat
menjejaki ku. Ternyata teknologi yang canggih tidak pernah dapat aku tewaskan.
Mereka menyedari kehadiranku sebaik sahaja aku keluar dari atm.
Aku berlari disebalik kelibat orang ramai. Dadaku berombak
kencang. Jiwaku meronta-ronta untuk tidak kembali ke neraka dunia tersebut.
Tanpa arah tujuan, aku berlari sekuat hatiku sebelum aku berhenti setelah pasti
bahawa mereka-mereka tidak lagi mengejarku. Aku kembali ke rumah dia tanpa
sempat membeli tudung baru buatnya. Aku tekad, esok aku akan keluar sekali lagi
untuk membeli tudung tersebut.
***
Aku memerhati kira,kanan, depan dan belakang. Memerhati
andai sekiranya ada yang mengekoriku. Setelah pasti semuanya selamat, aku
pantas memasuki kedai tudung yang telah menjadi targetku kerana tertulis di
kain rentang perkataan “promosi potongan 50%” dihadapan kedai tersebut.
Menjerit kecil anak
mak cik kedai tudung tersebut melihat aku berlari-lari anak masuk ke kedai
maknya.
Aku senyum sambil berkata, “ada vampire kejar pak cik tadi”.
Anak kecil itu memandangku keliru, dia kemudiannya
membelek-belek hadapan buku ceritanya yang bertajuk “Vampire. Benar atau
mitos”.
“ada tudung warna hitam tak?”soalku kepada pemilik kedai
tersebut.
“tudung jenis apa? Shawl ke, sarung ke atau bawal” soal mak
cik tersebut yang membuatkan aku pula yang keliru.
“tudung hitam yang petak macam alas meja ada?” soalku
serius.
Ya, ketika itu aku memang serius kerna aku baru tahu tudung
yang bentuk 3 segi itu rupanya bila dibuka jadi 4 segi macam alas meja.
“Nak yang ada batu atau plain jer?” soal mak cik tersebut
membuatkan aku semakin keliru.
“nak yang plain je. Nanti ada batu berat pula nak pakai”
bicaraku yakin bahawa batu yang dimaksudkan mak cik itu adalah batu yang
terdapat di jalan-jalan.
Setelah bayar, aku terus bergegas balik ke rumah. Seperti
tadi, aku memandang ke kiri,kanan,depan dan belakang sebelum keluar dari kedai
tersebut.
Ku genggam erat plastik yang terdapat tudung di dalamnya.
Takut-takut sekiranya tercicir ketika aku sedang berlari-lari anak ini. Sampai
sahaja di kawasan perumahan dia, dadaku berdebar kencang. Aku sendiri keliru
sama ada aku penat berlari atau aku terlalu gembira kerana berjaya membeli
tudung untuk seseorang yang sanggup menyimpan aku.
Aku melangkah ke rumahnya dengan rasa debar sebelum
langkahku terhenti di hadapan rumahnya. Hampir sahaja bungkusan plastik yang
aku pegang terlepas dari genggaman tanganku. Sam dan anak buahnya berdiri
dihadapan rumah dia sambil berbual-bual dengan dia.
Walaupun ku lihat sam tertawa sambil berborak dengan dia,
namun jelas kelihatan wajah dia menunjukkan wajah tidak senang. Sam yang
perasan dengan kehadiran aku, melambai-lambai ke arahku supaya aku pergi ke
arahnya.
“joe, asal lu tak cakap sama wa yang lu tinggal di sini, ma?
Wa sangat rindu sama lu, ma. Merata orang wa cari lu,ma” bicara Sam sambil
merangkul bahuku.
Sam ketawa, anak buahnya ketawa, aku hanya memandang ke
bawah dan dia, aku tahu wajahnya penuh kerisauan.
“Ayuh, sekalang ikut wa balik” bicara Sam lagi sambil
memegang tanganku erat.
“sekejap” bicaraku lalu ku berikan plastik kepada dia.
Dia mengambilnya tanpa sebarang kata. Seperti janji kami
dulu, aku harus pergi sekiranya ada seseorang mencari atau menjumpai aku.
“sekejap”bicara dia sambil tersenyum ke arahku.
“ya, sekejap. Terima kasih” bicaraku pula sambil membalas
senyumannya.
***
Pang.
Satu tamparan kuat mengenai pipiku. Sam menamparku.
“Sekali lagi, lu lari dari gua. Gua bunuh itu,amoi” marah
Sam sambil menarik kasar rambutku.
Dia kemudiannya mencium rakus mulutku dan meratah seluruh
tubuhku. Malam itu aku dikerjakan sehabisnya sehinggakan aku tidak punya tenaga
untuk bangun pada pagi tersebut. Aku menjerit sekuatnya setelah Sam berlalu keluar
dari bilik tidur kami. Aku menangis semahunya tetapi tiada siapa yang
mendengar.
Ya, inilah neraka duniaku. Aku dijadikan hamba seks Sam
sejak aku habis sekolah. Aku mengenali Sam dari kawan kepada kawan aku. Aku
pernah diberitahu oleh kawan-kawanku bahawa Sam suka aku, aku yang ketika itu
menganggap hal itu sekadar gurauan tidak menyangka bahawa malam ketika aku dan
kawan-kawanku lepak di disco menjadi permulaan kepada kehidupan nerakaku.
Aku diratah oleh Sam berulang-ulang kali tanpa sedar disebabkan
dadah yang dimasukkan ke dalam minuman tanpa aku sedari. Sam yang mula ketagih
dengan badan aku mula menyimpanku sebagai pemuas nafsunya setiap kali dia
kehendakkan. Aku dikawal rapi seolah-olah banduan penjara.
Kawan-kawanku yang cuba menolongku semuanya mati dibunuh.
Aku keseorangan kerana itu apabila ada seseorang perempuan yang mendekatiku,
aku akan genggam tangannya erat. Berharap agar ada antara mereka yang akan
membawa aku keluar dari neraka dunia ini.
Aku tahu mereka insan yang lemah tapi aku memerlukan mereka.
Tersangat dan kemudian dia datang, menawarkan perlindungan walaupun hakikatnya
dia juga takut. Walaupun sekejap, sekurang-kurangnya tetap ada daripada tidak.
***
5 tahun berlalu. Hampir saban hari aku perlu mengikut
kehendak Sam. Menurut segala perintahnya. Melayan segala kehendak nafsunya. Dan
kini aku bebas, Sam ditangkap polis ketika mengedar dadah lalu dia dihukum
gantung sampai mati.
Aku pula dibebaskan setelah disoal siasat oleh polis. Tanpa
berselindung, aku menceritakan semua yang terjadi kepada pihak polis.
Wajah-wajah mereka melahirkan simpati, aku tahu kisah aku menyedihkan tapi aku
tak mahu mereka. Aku mahukan dia. Aku terlalu ingin berjumpa dengan dia.
Hari-hari yang berlalu ketika aku bersama dengan Sam. Aku
hanya terfikirkan dia, mengukap di dalam kepalaku berjuta-juta kali perkataan
“sekejap”. “Sekejap” saja dan semua ini akan berlalu dan aku akan berjumpa
dengannya semula. Seperti ayatnya “sekejap” saat terakhir kali kami berjumpa.
Sebaik sahaja aku keluar dari balai polis, pantas sahaja
kakiku berlari ke rumah dia. Hanya tuhan sahaja yang tahu betapa aku ingin
sangat bertemu dengannya. Sampai sahaja dihadapan rumahnya, aku tersenyum
sendirian. Lampu ruang tamu yang bernyala menandakan dia berada di dalam rumah
tersebut. Bunyi dari cerita naruto yang sedang bermain di kaca tv kedengaran
sehingga ke luar rumah walaupun pintu tertutup.
Aku mengetuk-ngetuk pintu tersebut. Kedengaran seseorang
sedang berjalan ke arah pintu tersebut. Bibirku mula mengukir senyum. Dadaku
berombak kencang. Perkataan “sekejap” mula bermain-main difikiranku.
“Ya, anak cari siapa?” soal mak cik yang membuka pintu
tersebut.
Aku keliru, “Ini bukan rumah perempuan dengan adiknya ke?”.
“Boleh mak cik tahu sapa nama perempuan tu?” soal mak cik
itu lagi.
Aku ingin menjawap soalan tersebut namun aku terdiam, baru
ku sedar. Selama ini aku tak pernah tahu siapa nama perempuan tersebut.
Perlahan-lahan air mataku mengalir membasahi pipiku. Aku mencangkuk dihadapan
pagar tersebut sambil menyebut “sekejap” berulang-ulang kali.
Mak cik yang melihatku itu pelik dengan sikapku. Keliru dengan
bicaraku. Apa yang “sekejap”nya?
***
Beberapa tahun berlalu, aku masih di sini. Di kota ini,
tidak lari jauh darinya. Aku masih menyimpan harapan. Berharap agar satu hari nanti
aku akan bertemu dengannya. Perempuan yang “menyimpanku” dengan rasa takut.
“Hoi,joe. Cepatlah. Dah lambat ni. Kita ada meeting pukul 9
ni” jerit kawanku.
Aku menggangguk sambil mata masih memandang kesekeliling,
mencari-cari sekiranya dia tiba-tiba muncul di sebelahku seperti dalam cerita
akasia atau sinetron. Setidaknya aku tak mahu sesekali terlepas sekiranya dia
benar-benar berjalan disebelahku dan aku tak perasan kehadirannya. Lalu aku
memandang sekeliling buat terakhir kalinya sebelum berlari masuk ke dalam ktm.
Setelah sampai ke tempat meeting
yang telah dijanjikan. Kami berdua membaca serba sedikit dokumen-dokumen yang
telah kami sediakan sejak 2 minggu yang lepas. Tidak mahu terlepas sebarang
projek dengan mana-mana klien.
“Assalamualaikum”bicara seorang pemuda.
Perempuan disebelahnya hanya tersenyum sambil memandang ke
arah kami. Mataku terbuka luas, bicaraku terkunci. Bibirku bergerak-gerak
seperti mahu mengatakan sesuatu, namun dia pantas berkata bagi pihakku.
“tak mengapa kalau tak nak bagitahu. Saya pun bukan
pendengar setia. Lagipun, cerita naruto saya dah nak mula” bicaranya sambil
tersenyum ke arahku.
Aku tergelak. Ketawa penuh bahagia. “Sekejap”.
AMARAN: Karya asal diukir oleh penulis Batu Jalanan.
Best..aku cam dh jatuh hati plak dekat perempuan "sekejap" tu..
ReplyDeletewey,jangan!!! hahaha
DeleteTerbaikkkk
ReplyDeletehe..thanks.. :)
Delete