Diukir oleh: Batu Jalanan
Terlantar
dalam kekusutan umpama tiada harapan
Terlalu
banyak kesilapan terlanjur kulakukan
Ku tahu
aku selalu terleka
Ku tahu
ku tak sempurna lima
Aku berlari sehabis tenagaku. Berlari di celah-celah orang
ramai. Perempuan atau lelaki. Dewasa atau kanak-kanak semuanya aku langgar.
Tidak lagi peduli pada suara-suara yang menjerit pekik memarahi tindakan aku
itu. Apa yang penting sekarang ialah aku harus berlari jauh dari mereka-mereka
yang mengejar ku.
Aku pantas memasuki lorong sempit sebaik sahaja pandangan
mataku terlihat tempat itu. Lalu bersembunyi disebalik tong sampah hijau yang
terdapat di situ. Mereka-mereka yang mengejar aku masih bebas berkeliaran.
Mencari-cari orang macam aku.
Bunyi siren kereta polis berada di mana-mana sahaja. Baru
sebentar tadi, 2 buah kereta polis melintasi bangunan ini. Kawasan ini seakan-akan
telah menjadi satu pesta keramaian dengan bunyi siren polis dimana-mana. Aku semakin ketakutan. Kali ini mereka
benar-benar ingin menangkap orang seperti aku. Sungguhkah kami bersalah?
Debaran jantungku semakin kencang terasa. Nafasku masih
rancak turun naik. Mataku ligat memandang sekeliling. Memerhati sekiranya ada
kelibat polis di sekelilingku.
Seseorang tiba-tiba sahaja berlari melepasi aku. Beberapa
polis mengejarnya dari belakang. Sebaik sahaja polis yang paling hampir
dengannya berjaya mencengkam kolar bajunya. Dia pantas dibaringkan. Tangannya
digari ke belakang.
Mata kami bertentangan
buat seketika. Aku berundur perlahan-lahan. Memastikan tiada bunyi yang
terhasil dari derapan kakiku. Sedang aku berpaling untuk keluar dari situ,
sebuah kereta polis berhenti tepat di hadapanku.
Seseorang keluar darinya dengan senjata di tangan lalu
mengacukannya ke arah aku.
“berhenti! Jangan bergerak! Angkat tangan atas kepala” arahnya.
Aku tidak mampu berbuat apa-apa. Tangan aku, ku angkat. Kaki
ku mula lemah. Aku berlutut di situ. Aku seolah-olah tidak mampu lagi berfikir
cara untuk melarikan diri dari sini. Satu persatu kesalahan aku yang lepas mula
terbayang di mindaku. Aku memandang ke atas. Melihat langit yang mula dibasahi
hujan.
“Apakah Kau sedang melaksanakan hukuman Kau terhadap kami?”
desis hatiku.
###
Timbul
rasa insaf
Tersedar
dari godaan dunia
Aku kini di sini. Disebalik dinding bergerigi ini.
Bersama-sama dengan mereka yang mempunyai kesalahan sepertiku. Aku tidak
menyangka bahawa mereka-mereka seperti aku telah terlalu ramai bilangannya.
Lihat saja di lokap ini. Langsung tiada ruang untuk aku membaringkan diri.
Aku memerhatikan rakan-rakan selokapku. Ada yang berumur dan
ada yang muda. Ada yang berkerjaya dan ada pekerja biasa. Dari mereka yang
berpangkat tinggi hingga ke pelajar-pelajar sekolah. Semuanya dikurung di satu
tempat atas satu kesalahan yang sama.
Aku mengurung diriku di satu sudut. Duduk sambil memeluk
diriku. Aku terlalu takut. Dan aku juga dapat merasakan mereka-mereka yang
senasib denganku juga begitu. Untuk kesalahan seperti kami, aku sangat pasti
hanya satu hukuman saja yang layak kami terima.
Gantung sampai mati.
Siaran berita yang terpapar di kaca tv milik balai polis ini
mula menayangkan berita tentang tangkapan dan serbuan secara besar-besaran di
seluruh negeri termasuk Sabah dan Sarawak. Kelihatan negara seperti kucar-kacir
dengan pemberontakkan dari sekumpulan kecil di hampir semua tempat.
Sebuah kain rentang dengan perkataan ‘LGBT Hak Kami’ tidak
lagi memberi makna kepada penguatkuasa. Yang haram tetap haram. Yang dosa tetap
dosa. Mereka telah memilih untuk berlaku tegas dengan orang seperti kami. Tiada
lagi belas kasihan atau peluang kedua. Semuanya adalah untuk memastikan bahawa
bala bencana yang menimpa kaum nabi Luth tidak berulang kembali.
Aku kemudiannya mengalihkan semula pandanganku di setiap
ruangan lokap. Wajah-wajah ketakutan dan marah terpancar di setiap dari kami.
Pandangan aku kemudiannya terhenti pada sesusuk tubuh yang sangat aku kenali.
Dia sedang berdiri sambil memeluk tubuh di ruangan sel sebelah.
Pandangan kami bersatu membuatkan aku mengimbas kembali
peristiwa beberapa jam yang lalu di mana aku dan dia sedang berasmara sebelum
kami di serbu oleh pihak berkuasa. Aku yang panik dengan keadaan tersebut
pantas menolak beberapa orang yang menghalang laluanku lalu berlari keluar dari
bilik hotel itu.
Tanpa aku jangka, beberapa orang polis telah siap siaga di
luar hotel tempat aku menginap. Aku berjaya melarikan diri dari mereka
sehinggalah kepada kisah aku yang membawa aku ke sini.
Aku kemudiannya membawa pandanganku lari darinya. Menunduk
lalu memeluk diriku lebih erat sebelum beberapa orang polis mula masuk ke balai
polis. Seorang pemuda yang aku kira sebaya dengan umurku bangun lalu berjalan
rapat ke arah gerigi. Menendang lalu menumbuk palang besi itu.
“lepaskan aku. Aku tak bersalah!” jerit pemuda itu.
“Encik X. Kami telah lama memerhatikan perilaku encik sejak
10 tahun yang lepas. Beberapa amaran telah dikeluarkan yang meminta encik
berhenti daripada melakukan kegiatan yang terlarang itu. Tapi encik tidak
menghiraukan malah menganggap amaran kami hanya satu gurauan. Dan hari ini
encik masih katakan encik tak bersalah?” bicara seorang pegawai polis yang
berhampiran dengan pemuda itu
“tapi tangkapan ini terlalu melampau. Kami tak berpeluang
untuk bertaubat atau diberi kesempatan untuk meninggalkan kegiatan kami. Korang
semua menangkap kami tanpa sempat kami berbuat apa-apa” bantah pemuda itu pula
“berapa lama lagi yang encik perlukan? 10 tahun tempoh masa
yang kami berikan kepada encik untuk berubah tapi sehingga sekarang encik masih
tetap dengan cara encik”
“tapi…” bicara pemuda itu terputus. Dia seakan-akan tidak
dapat meneruskan percakapannya.
Aku lihat pemuda itu terduduk. Mungkin menyesal dengan apa
yang telah terjadi. Aku lihat wajah-wajah mereka yang lain juga tidak mampu
berkata apa-apa. Tidak pernah ku jangka, tuhan benar-benar menjalankan
hukumannya.
###
Daku
mahu kembali ke jalan yang sebenar
Tekad
sedaya upaya agar diKau sudi terima
“Bersalah” bicara hakim tegas.
Aku dan beberapa orang yang senasib denganku telah
dijatuhkan hukuman bersalah. Dimana kami akan dihukum gantung untuk kesalahan
seperti kami. Kesalahan kerana tetap tegar melayan keinginan kami.
Lemah segala tubuh badanku saat mereka-mereka yang
ditugaskan untuk mengawasiku membawa aku ke sebuah kenderaan yang membawa orang
seperti kami ke sebuah penjara yang bakal menjadi tempat terakhir buat kami
semua.
Saat aku berjalan keluar dari mahkamah ini, ku lihat
wajah-wajah keluargaku yang diselumbungi perasaan sedih dan malu. Aku menunduk.
Tidak sanggup rasanya untuk aku menatap wajah-wajah mereka. Wajah-wajah yang
telah menjagaku dengan penuh kasih sayang. Tegarnya aku mengecewakan mereka
dengan perasaan ini.
Aku kemudiannya dibawa terus ke penjara. Rumah terakhirku
barangkali. Entah apa yang merasukku. Aku menumbuk-numbuk dinding. Menendang
semua benda di sekelilingku. Perasaanku berkecamuk. Aku meronta. Melepaskan
geram dan marah tapi pada siapa?
Setelah penat dengan tindakan aku sendiri, aku terduduk.
Meraung dan menjerit.
“ini semua salah kau!”jerit aku sambil memandang siling
penjara ini.
“salah siapa?” soal satu suara.
Aku terperanjat dengan suara yang tiba-tiba sahaja muncul di
sel yang setahu aku hanya ada aku seorang sahaja di sini. Aku pantas memandang
sekeliling mencari-cari sesusuk tubuh pemilik kepada suara yang baru aku
dengari tadi.
“tak payah nak cari-cari aku. Aku cuma bisikan kau saja”
bicara suara tersebut.
“apa yang kau nak?” soal aku dengan nada marah
“tak ada apa-apa. Sekadar untuk menyampaikan” bicara suara
tersebut itu lagi.
“apa yang kau nak sampaikan?” soal aku menahan marah.
Aku dapat rasakan suara itu seolah-olah cuba mempermainkan
aku.
“bergantung pada kehendak kau” jawap suara tersebut itu
ringkas
“gila” bicaraku
“kau lah gila” balas suara tersebut
“kau kenapa nak cari gaduh dengan aku” soalku marah
“kau yang tengah cari gaduh dengan aku sekarang”balas suara
tersebut lagi.
“dah diam. Boleh jadi gila aku bercakap dengan kau”bicaraku
untuk mematikan perbualan antara aku dengan suara tersebut.
“ok” jawab suara tersebut ringkas.
Aku kemudiannya membawa kakiku rapat ke badanku. Memeluk
diriku. Termenung sejenak.
“eh,bisikan” panggil aku.
“ya” bicara suara tersebut.
“kenapa Dia hadirkan aku sebuah perasaan yang Dia sendiri
laknat?”bicaraku tenang
Bisikan itu tersenyum sebelum menjawap (stop! macam mana aku
tahu bisikan itu tersenyum? pelik)
“perasaan yang macam mana? Perasaan yang semulajadi atau
rasa-rasa yang kau cipta sendiri” soal suara tersebut.
“rasa.” Aku terdiam.
Aku sendiri keliru. Rasa ini bila masa dia datang? Mustahil
sejak aku lahir-lahir aku terus mempunyai naluri menyukai seseorang yang
sejantina denganku.
Mereka-mereka yang tidak mengenaliku mengatakan bahawa aku
menjadi mangsa keadaan. Tapi mangsa yang macam mana? Mangsa yang orang tuanya
memberi kebebasan mutlak atau mangsa yang dipaksa-paksa orang sekeliling?
Tidak! Aku bukan keduanya. Aku yang memilih jalan ini. Jadi
salah siapa sebenarnya?
***
Tinggalkan
segala yang sudah
Ku di
dalam gelisah
Ku
mendoakan Kau ampuni segala dosa
Hatiku
tidak akan berubah
Dengan
yakin ku bersumpah
Aku
bersujud agar Kau ampuni diriku
Ampuniku
Beberapa kali aku cuba mengangkat takbir,namun tidak berjaya
juga. Seakan-akan ada rasa yang menghalang. Seolah-olah ada perkara yang
menyekat diriku dari memulakan solatku.
Sekali lagi, aku memaksa mengangkat takbir namun tetap juga tidak
berjaya. Lalu aku merebahkan tubuhku, melutut di tikar sejadah.
“kau mahu tahu kenapa kali ini,pada hari ini kau tidak boleh
langsung mengangkat takbir? Sedangkan selama ini dengan mudah malah tidak perlu
dipaksa-paksa dan kau boleh habiskan solat kau dengan sangat mudah dalam
sekelip mata” soal bisikan itu.
“kerana Allah mulai benci pendosa seperti aku. Dia menarik
nikmat solat dari aku” tekaku yang bersangka buruk terhadap tuhan.
“Salah. Kau silap. Kau tak sedar bukan pada hari ini kau
telah menghadirkan Allah dalam solat kau. Untuk pertama kali, kau dapat merasakan
bahawa solat kau,ibadah kau hanya untuk-Nya. Dan untuk itu, diri kau mulai
sedar bahawa kau tak mampu mempersembahkan diri kau yang ini kepada Allah.”bicara
bisikan itu ringkas tapi cukup menghiris perasaanku.
Aku terkesima. Air mataku mengalir. Layakkah pendosa seperti
aku mempersembahkan dirinya dihadapan Allah?
***
Aku
hanyalah manusia biasa
Yang
terkandas di perjalanan
Ingin
pulang ke pangkuan
Badanku secara tiba-tiba ditolak kasar ke dinding. Aku
mengadu sakit. Namun, mereka-mereka yang mengelilingiku langsung tidak peduli.
Salah seorang dari mereka menarik kasar baju aku lalu mengoyakkannya. Aku cuba
menghalang tindakan lelaki tersebut.
“Pergi! Aku dah tak buat benda ni lagi” marahku
Lelaki tersebut yang marah dengan tindakan aku pantas mencengkam
leherku, “Hoi, kau ingat ada orang peduli ke kau nak berubah atau tak.” bicara
lelaki tersebut.
“Wey, tuhan pun dah tak nak dengan orang macam kau. Kau tahu
tak? Pengotor macam kau ni, manusia buat jadi pemuas nafsu je. Tuhan pun dah
tak peduli pasal kau. Kalau dia peduli, tentu dia tak akan hantar kau ke sini.”
bicara lelaki tersebut lalu mencium dan menggigit leherku.
Aku kaku. Kata-katanya membunuh aku dari dalam.
Benarkah tiada lagi yang peduli? Benarkah pengakhiran hidup
aku akan terus-terusan begini? Benarkah tuhan tidak lagi peduli pada pendosa
seperti aku?” desis hatiku.
“Kau rasa?” soal bisikan
Air mataku mengalir perlahan, “tuhan masih sayang”.
Sambil tersenyum, bisikan itu berkata “aku rasa kau dah tahu
jawapan untuk persoalan-persoalan kau tadi”.
“Hoi” jerit warden yang ketika itu melalui jalan ini.
Bertempiaran mereka-mereka yang mengelilingku tadi berlari
melarikan diri. Meninggalkan aku yang berlutut di situ. Aku mendongak,memandang
ke atas.
“Kau sentiasa ada, bukan? Di sisi aku selama ini? Memerhati
dan mengawasi aku..” bicaraku perlahan.
***
Inginku
mengubahkan cara menjadi insan lebih setia
Merintih
dengan air mata menyerah jiwa raga
Aku berjalan ke ruang pertemuan sambil di kawal rapi oleh
warden penjara. Baru sebentar tadi, ketika aku sedang membaca buku, seorang
warden memanggil aku bahawa ada seseorang dari kalangan saudaraku sendiri ingin
berjumpa denganku.
Aku yang tanpa banyak soal sekadar mengikut langkah warden
penjara membawaku ke ruangan ini. Kelihatan adik perempuanku sedang setia
menunggu ketibaanku dengan mata yang merah. Aku kira dia sedang menangis
sebentar tadi. Gagang telefon ku angkat, begitu juga dengan adik perempuanku.
“Assalamualaikum,abang”bicara adik ku memulakan bicara
sambil menahan tangisnya.
Aku menjawab salam, “ada apa jumpa abang di sini?” soalku
keliru.
“Mak,abang. Mak” bicara adik ku tidak dapat meneruskan
percakapannya. Air matanya terus-terusan mengalir.
“Kenapa dengan mak?” soalku mulai risau
“Mak sakit abang. Sakit tenat. Sekarang mak kat ICU. Doktor
kata mak tak ada harapan untuk sembuh” bicara adikku tersekat-sekat.
Aku terkesima. Bicaraku mati. Ujian ini terlalu berat untuk
ku. Terasa seluruh tubuh ku tidak lagi punya sebarang tenaga. Tanpa aku sedar.
Aku telahpun pengsan di situ. Keadaan sedikit kecoh dengan tangisan dan jeritan
adik ku memanggil-manggil namaku. Aku terus di papah ke ruang penjara ku lalu
dibaringkan. Seorang doktor telah ditugaskan untuk memeriksa kesihatanku.
“kenapa? Kenapa tuhan menghukum mak aku sedangkan aku yang
melakukan semua kemungkaran ini. Kenapa mak aku yang perlu menanggung semua
dosa aku?” soalku yang tidak mampu menerima kenyataan sebentar tadi.
“Kau perlu tahu. Kekadang tuhan tidak menghukum engkau
dengan memberi kesakitan dan musibah kepada diri kau. Kerana Dia tahu, semua
itu tidak akan memberi kesan sekiranya engkau sendiri yang mengalami. Lalu dia
beri ujian kepada orang yang kau sayang supaya dengannya kau akan sedar.
Kembali kepada pencipta kita. Menyedari bahawa kita tak punya apa-apa. Tiada
apa-apa milik kita. Kita hanya hamba yang lemah yang tidak mampu nak
mempertahankan orang yang kita sayang sekalipun. “bicara bisikan itu.
Beberapa hari selepas itu, adikku datang kembali.
Memberitahu bahawa mak kami telah kembali ke rahmatullah. Kali ini aku sedikit
tenang. Cuba-cuba menerima hakikat walau jiwa masih terasa sakit. Aku belajar
menerima cara tuhan memanggil hamba-Nya apabila Dia rindu.
***
Apabila
sudah tiba masanya nyawaku tiada di dunia
Ambillahku
dekat pada-Mu
Itu saja
pintaku
Saat tubuhku dibawa ke laluan hijau. Jalan-jalan terakhir
untuk mereka-mereka yang dijatuhkan hukuman sepertiku. Kaki ku tidak lagi
terdaya untuk melangkah. Mereka-mereka yang berada di kiri dan kananku
menampung badanku. Membantu aku berjalan ke tempat tali gantung.
Walaupun pandanganku gelap ditutupi kain hitam, aku sedar
aku tidak ke arah lain. Hanya ada satu laluan sahaja. Laluan kematian. Mereka
berkata bahawa aku beruntung kerana aku tahu bila aku akan mati tapi tidak
sedarkah mereka. Mengetahui saat bila kematian sendiri itu saja sudah cukup
menakutkan sehingga engkau tidak lagi mahu tahu apa itu nikmat hidup.
Geseran kasar yang mula mencengkam kuat leher ku membuatkan
satu badan aku menggeletar dengan sendirinya.
“Tuhan tak adil!”
bentak ku.
Kau tahu? Telah terlalu lama. Telah lama aku merintih.
Merayu kepadanya untuk di hapuskan perasaan ini. Telah terlalu banyak air mata
ku mengalir. Mempersoalkan sebuah perasaan yang dia sendiri laknat.
Tapi kenapa baru sekarang Dia menghukum aku? Ketika nyawaku
tidak lagi menjadi milikku. Kenapa selama ini Dia biarkan saja aku terus terleka
dengan semua nikmat yang diberikannya?
Bisikan itu diam sebentar sebelum menyambung.
“Kerana selama ini Dia hanya mahu menguji engkau. Berteka-teki
selama mana engkau akan sedar dan kembali padaNya sebelum Dia menjatuhkan
hukuman terhadap engkau. Cuma sekarang baru Dia menunjukkan kasihnya”
“kasih?!” aku menyoal marah
“apa maksud kau? Aku kini di tali gantung. Bila-bila masa
saja tempat aku bertapak ini akan terbuka. Dan aku akan mati buat
selama-lamanya. Itu yang kau namakan kasih?!”marahku yang amat.
Aku kemudiannya diam buat seketika. Menenteramkan
perasaanku. Mengembalikan kewarasanku. Terketar-ketar suaraku menyambung.
“jika benar hari ini Allah sayangkan aku, apa buktinya?”
soalku sebak
“cerita kau.”ringkas bisikan itu menjawab.
Aku keliru.
“Dia telah memilih di antara hamba yang sedang mencari-Nya
untuk membaca cerita kau.” sambung suara itu lagi
“apa maksud kau? Aku tak faham” soalku keliru
“tidak kira pada saat engkau terfikir untuk melakukan dosa
lalu kau terbaca cerita kau,atau saat kau sedang melakukan dosa lalu kau
membaca cerita kau atau pada saat kau telah melakukan dosa lalu kau membaca
cerita kau. Tidak kira saat-saat yang mana sekalipun,selagi kau tergerak hati
untuk membaca cerita kau. Maka saat itu Allah sedang menunjukkan kasihnya. Cuma
ketika itu segalanya atas diri kau bagaimana kau mahu membalas kasih dan
sayang-Nya”
Badanku terenjut-renjut menahan tangis. Mungkin orang yang
akan membuka tapak tempatku berdiri ini menyangka bahawa aku menangis kerana
takut. Namun, hanya aku saja yang mengetahui perasaan yang aku rasai ketika
ini.
“jadi ku pinta.
Jangan sia-siakan peluang ini sekali lagi” bicara bisikan itu buat terakhir
kalinya.
Sebaik sahaja suara itu habis bicara. Papan tempat aku
berpijak terbuka. Aku jatuh ke dalam lubang yang sangat dalam. Pelik. Aku tidak
merasai sakit di leherku namun aku terus terjatuh ke dalamnya. Seolah-olah aku
sedang terjun dari bangunan yang sangat tinggi yang kiri dan kananku hanya
gelap-gelita.
Kelihatan cahaya kecil mula muncul dari bawah, semakin lama
semakin menyilaukan. Aku terus jatuh ke dalam cahaya tersebut.
Aku terbangun dari tidurku apabila azan subuh mula
kedengaran. Badanku berpeluh. Jantungku berdengup kencang. Laungan azan subuh
yang kedengaran sayup-sayup dari masjid tidak jauh dari perumahanku terasa sayu
dan mendamaikan. Jiwaku menjadi tenang. Tanpa ku paksa, air mataku mengalir
sendiri. Membasahi wajahku yang kusam.
Jujur. Aku masih keliru dengan apa yang terjadi. Namun, jiwa
ku seperti dilontar ketenangan. Aku seolah-olah di pujuk dengan satu rasa.
Perlahan aku melangkah ke bilik air. Mengambil wuduk yang
telah lama tidak membasahi tubuh badanku. Tanganku, aku angkat. Takbir
membesarkan Yang Maha Esa aku laungkan. Telah sekian lama aku meninggalkan
solat. Dan hari ini aku memulakannya semula.
Dulu aku menyangka, pendosa seperti aku tidak layak untuk
mendirikan solat. Dulu aku menyangka, pendosa seperti aku pasti sahaja tuhan
tidak mahu berjumpa dengannya. Rupanya aku silap. Tuhan masih sayang.
Selama ini aku cuma merajuk. Merajuk dengan tuhan. Merajuk
dengan setiap ujian-ujianNya. Aku menyangka, Allah tidak sayangkan aku. Rupanya
aku salah.
Kerana kasih. Dia memanggil aku. Kerana sayang. Dia
memberikan aku sebuah cerita mengenai diriku sendiri. Semuanya untuk menjadikan
aku hamba yang hebat. Bukan hamba yang bebas dari dosa tapi hamba yang tidak
mudah menyerah dan terus berjuang melawan dosanya.
Sekali lagi takbir ku angkat, membesarkan keEsaan tuhanku. Air
mata ku telah banyak mengalir sedari tadi.
“Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang”
Bacaan yang sangat ringkas tapi besar maknanya terhadap diriku.
Terima kasih Allah. Terima kasih kerana masih sayang.
Amaran: Karya asal diukir oleh penulis Batu Jalanan
Catatan: Ada kawan suggestkan aq publishkan cerpen2 aku sebab ia boleh membantu mereka-mereka yang mencari. Cadangan yang dah lama aq fikirkan tapi ada 2 masalah;-
1. Siapa aku yang sebenar akan terdedah.
2, Aku risau sekiranya cerpen2 aku menyentuh hal yang sensitive lalu membuat ada hati yang semakin keras. Kerna apabila seseorang bercakap seolah-olah dia tahu apa yang kau rasa sedangkan tidak pernah sekalipun dia berada di tempat kau untuk merasai apa yang kau rasa sudah cukup menyakitkan. Ya, aku tahu rasa sakit itu kerna aq juga pernah berada pada fasa itu.
So, biar saja cerpen ini di sini. Well, atleast sehingga tempoh masa yang tuhan takdirkan.